Cara meminta maaf kepada suami. Kita memang digalakkan untuk sentiasa meminta maaf jika kita berbuat salah, lebih-lebih lagi dengan suami atau isteri kita.

Aku tulis secara umum. Kerna bukan sahaja isteri yang perlu minta maaf kepada suami, tetapi suami juga perlu meminta maaf kepada isteri. Barulah rukun rumah tangga semakin utuh dan kekal bahagia.
Dan kepada sesiapa sahaja yang pernah melakukan kesalahan terhadap orang lain, boleh cuba cara ini.
Cara Meminta Maaf Kepada Suami
1. Mengaku kesalahan. Jika kita benar-benar ikhlas hendak meminta maaf diatas kesalahan, kita perlu mengakui apa kesalahan kita. Aku yakin orang akan lebih lembut hati dan senang hendak maafkan kita.
2. Berjanji takkan ulangi kesalahan itu lagi. Cuba sedaya upaya untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama, jika kita mengulangi kesilapan, itu adalah kesilapan besar. Keyakinan orang terhadap kita akan hilang.
3. Cari masa yang sesuai untuk meminta maaf. Ada orang yang panasnya sekejap sahaja, jadi tunggulah sehingga kemarahan si dia reda terlebih dahulu, barulah kita minta maaf. Mungkin ada orang yang mengambil masa yang lama, jadi bersabarlah, cuba perlahan-lahan untuk meminta maaf. Jangan terlalu mendesak.
4. Cuba memujuk hati si dia. Maaf itu datang dari hati, jadi cuba lembutkan hati si dia dengan membuat atau memberi sesuatu yang si dia suka dan minat. Kesukaran seseorang itu untuk memaafkan adalah datangnya dari sifat ego, jadi kena tundukkan juga ego dia.
5. Berdoa. Ya doa itu senjata kita orang Islam. Selalulah berdoa kepada Allah S.W.T agar lebutkan hati si dia dan segera memaafkan kita. Nyata dengan jelas sebagai contoh "Ya, Allah kau lembutkanlah hati (si polan) agar memaafkan kesalahan aku, dan aku berjanji tidak akan mengulangi kesalah itu lagi." Ini ayat doa yang aku buat sendiri, jika ada doa lain yang diajar oleh ustaz juga bolehlah di amalkan.
Selain kita disuruh untuk sentiasa meminta maaf kita juga digalakkan untuk memaafkan orang lain. Jadi sebelum tidur cubalah maafkan setiap kesalahan orang lain terhadap kita, dan insyallah akan ada orang lain pula yang akan memaafkan kita nanti.
Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Semoga diamalkan selalu saling bermaaf-maafan antara suami isteri, dan bukan dilakukan pada hari raya sahaja.