
Teringat balik aku zaman sekolah rendah dulu-dulu. Masa itu ayah aku cuma beri 50 sen sebagai wang saku untuk aku berbelanja di sekolah. Nampak sikit bukan. Budak-budak zaman sekarang dengar mungkin tergelak, nak beli apa dengan 50 sen.
Tapi itu realitinya, dengan 50 sen tu aku dapat beli sepinggan nasi lemak biasa dengan air sirap. Dah kenyang la tu, pagi dah sarapan dekat rumah, balik tengahari nanti dapat makan lagi dekat rumah.
Semasa aku naik darjah 5 barulah aku merasa dapat wang saku RM 1. Memang rasa macam kaya sangat dah masa itu. Tapi aku tetap belanja macam biasa, 50 sen bakinya aku simpan dalam tabung.
Kadang-kadang aku simpan terus je semua duit aku tu, tak beli apa-apa. Sebab ada seorang kawan aku ni, suka sangat belanja aku makan keropok lekor. Rezeki jangan ditolak kan, boleh aku buat simpanan sikit.
Aku bukannya menabung untuk simpanan untuk masa depan, tetapi kumpul duit nak beli kereta dash yonkuro. Budak yang membesar zaman 90-an mesti tahu nie..hu3..dapatlah aku beli kereta mainan tu dengan duit aku sendiri.
Aku masuk sekolah menengah, elaun duit belanja aku dinaikkan lagi jadi RM2 sehari. Sebab jadi top 5 pelajar cemerlang semasa UPSR. Lagipun dekat sekolah menengah harga makanan dah mahal sikit. Nasi pun dah seringgit. Air dalam 30 sen macam tu lebih kurang.
Tapi semasa sekolah menengah aku tabiat aku menabung semakin hardcore. Waktu rehat aku tak pergi ke kantin. Aku banyak habiskan masa di perpustakaan, untuk tidur..he3..ingat aku ni rajin sangat ke nak baca buku.
Kali ini aku menabung untuk beli raket badminton yang mahal pulak. Sebab masa tu aku tengah duk gila main badminton. Selepas menabung lebih kurang 4 bulan gitu. Akhirnya aku pun dapatlah merasa juga pegang raket ringan tu. rasa nak smash je kawan-kawan aku..hahaha..punya la berlagak.
Masa itu ayah aku pun pelik bila aku bawa balik raket mahal, dia tanya mana dapat duit beli. Aku cakap ini duit orang simpan la. Ayah aku ada bising la jugak sebab dia cakap, kalau nak beli barang bagitau dia, duit belanja tu untuk buat makan dekat sekolah.
Lagi satu sejak dari tingkatan satu aku dah dapat biasiswa. Langsung tak berusik hingga ke tingkatan 5. Duit tu aku gunakan masa nak sambung belajar.
Namum kita tak bolehlah nak samakan kehidupan kita dulu dengan zaman sekarang. Kos sara hidup setiap tahun semakin meningkat. Tahun-tahun akan datang tak tahu lagi berapa duit belanja nak bagi dekat anak aku pergi sekolah.