Sudahkah kita bersiap sedia untuk menghadapi 7 tahun musim kemarau. Ya 7 tahun, lama tempoh masa itu. Bekalan yang secukupnya harus kita persiapkan dalam masa 7 tahun yang mewah ini. Agar kita tidak melarat bila tibanya musim kemarau itu.
Perpatah orang tua kita ada benarnya juga, sediakan payung sebelum hujan. Sentiasa beringat, langit tak selalunya cerah. Ombak tak selalunya tenang. Tetapi jangan pula dicurahkan air ditempayan, bila guruh kedengaran, boleh jadi hujan tak jadi turun.
Peringatan demi peringatan diberikan, agar kita sentiasa bersedia, bila-bila masa sahaja kemarau akan tiba. Kontang dan berdebu, tanah yang kekeringan, kemana nak kita mencari air. Sukar bukan, namum begitulah hidup, ada pasang surutnya, ambil peluang sementara air sedang pasang.
Kalau sedikit buat cara sedikit. Lama-lama jadilah bukit. Tak ada perkara mudah dalam hidup ini, adapnya berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian. Bukan senang nak dapatkan yang bergolek, apatah lagi nak tangkap yang pipih.
Surah Yusuf. Dari ayat 46 hingga ayat 49.
46. (Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya".
47 Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
48 Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
49 "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".
Segala peringatan ini, buat aku tersedar, ia bukan dari manusia, tapi dari kitab suci Kalamullah. Semoga kita semua dapat jadikan pedoman untuk menghadapi 7 tahun musim kemarau