Dosa mulut adalah dosa yang paling mudah dan dekat dengan kita. Jika kita tidak menjaga ketajaman lidah kita berbicara, mungkin tersembur dosa-dosa dari hamburan kata-kata yang kita lepaskan. Ringan dimulut tetapi berat timbangannya kelak.
Kita selalu anggap kita bercerita hal keburukan orang lain itu tidak berdosa, kerana kita bercakap perkara yang benar tentang buruknya orang itu. Malah kita hanya bercakap perkara yang benar tanpa ada tokok tambah atau membuat fitnah dalam cerita kita. Tapi kita telah bercakap hal yang tidak disukai oleh orang itu dan telah menyakiti hatinya.
Tanpa kita sedar itu sebenarnya juga termasuk di dalam salah satu dosa yang besar.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Wahai sahabat sekalian, mulai hari ini, jagalah lidah kita berbicara daripada menyakiti hati orang lain. Memang seronok apabila kita dapat bergosip sakan, tapi adakah kita tahu, apa yang kita cakap itu akan menyakiti hati orang lain.
Alangkah aman dunia ini jika masing-masing dapat menjaga lidah mereka daripada menyakiti hati orang lain. Berhati-hati lah apabila kita berbicara.