Soalan Bocor

Soalan Bocor

Kertas soalan peperiksaan bocor bukanlah perkara yang baru. Sudah berkurun berlaku, sejak dari aku sekolah rendah lagi. Semacam sudah menjadi budaya setiap kali ada peperiksaan akan keluar ayat "ada soalan bocor tak?".

Soalan Bocor - sekolah zaman dulu

Dari pemerhatian kasar aku daripada jauh. Budaya soalan bocor ini bukanlah satu perkara yang bagus kepada pelajar-pelajar kita. Sekolah adalah tempat generasi muda kita diajar. Didikan bermula dari sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah membawa ke institut pengajian tinggi. Dari situlah kita menimba pelbagai ilmu baik secara formal dan tidak formal.

Apa tujuannya diwujudkan sistem peperiksaan. Disamping bagi menilai kefahaman murid tentang apa yang sudah di ajar oleh cikgu. Peperiksaan juga mengajar murid-murid tentang semangat berdikari. Untuk berjaya seorang murid itu perlu belajar sendiri, bukan daripada hasil usaha orang lain.

Membudayakan soalan bocor ini akan menyemai sifat orang kita yang suka disuap, tak nak rasa bersusah payah untuk dapatkan sesuatu. Tersangat manja, aku tak perlu berikan contoh, kita boleh lihat hari ini ada sesetengah orang kita yang hanya mahu disuap, semua nak harapkan orang lain hidangkan untuk mereka.

Kurang berdaya saing, kurang berkeyakinan diri. Sebabnya kita selalu mengharapkan keajaiban seperti 'soalan bocor' untuk membantu kita berjaya. Iyalah apa guna belajar rajin-rajin, menghafal nota banyak-banyak. Tunggu sahaja soalan bocor keluar, kita belajar apa yang akan keluar sahaja.

Aku sendiri pernah terjebak dengan soalan bocor ini semasa belajar dulu. Ada banyak kisah, antara yang aku paling ingat adalah sewaktu aku di semester 1. Ada soalan bocor untuk satu kertas peperiksaan keluar. Aku dapat, aku belajar dan kaji serta hafal. Ada kawan-kawan aku yang buat toyol sebagai persiapan untuk meniru. Keputusannya memang cemerlang, aku dapat A+ untuk kertas tersebut.

Apabila tiba semester 2, kita akan anggap ada lagi soalan bocor, belajar pun ala kadar sahaja. Apa susah kita tunggu sahaja soalan bocor dan hafal jawapan. Nampak tak permainan dia. Kesannya akan terbawa-bawa untuk kita sentiasa disuap, sifat malas ditanam dalam diri.

Budaya soalan bocor ini sepatutnya sudah dibanteras lama dulu. Kita tak nak cemerlang hanya pada sekeping kertas dengan kuantiti, tetapi kita mahukan hasil yang berkualiti.

Share this:

Disqus Comments